Thursday, March 5

Hijrah.

"Untuk fakir miskin yang berhijrah (meninggalkan negerinya), diusir dari kampung dan harta bendanya, sedang mereka mencari kurnia Allah dan keredhaanNya, dan mereka menolong Allah dan RasulNya, itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang terlebih dahulu mendiami kampung (Madinah) dan beriman, mereka menunjukkan kasih sayang kepada orang-orang yang berhijrah ke kampung mereka, dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (yang berhijrah itu)' dan mengutamakan (saudaranya) lebih dari diri mereka sendiri meskipun mereka dalam kesusahan; dan siapa yang terpelihara dari kekikiran jiwanya, merekalah orang-orang yang beruntung."

al-Hasyr : 8 dan 9



Hijrah 1

27 Safar Dari Makkah ke gua Thur
1 Rabi'ul Awwal Bertolak dari gua Thur
8 Rabi'ul Awwal Tiba di Quba'
12 Rabi'ul Awwal Memasuki Madinah
Rabi'ul Awwal Asas pembinaan masjid Nabawi
Suku pertama Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar
Pertengahan Pembentukan Piagam Madinah - Daulah Islamiyyah pertama
Sistem pertahanan dikemukakan. Permulaan kepada
kumpulan-kumpulan peronda
Syawal Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina 'Aisyah


Hijrah 2

12 Safar Jihad diperintahkan
Safar Ghazwah Waddan - tindakan tentera pertama
Safar - 11 Jumada Perjanjian dengan puak yang tinggal di luar Madinah - Bani
Damra, masyarakat Bhowat dan Bani Madlaj
2 Rabi'ul Awwal Rompakan oleh Kurz bin Jabir Fahri
27 Rajab Peristiwa Nakhla - perang pertama kumpulan Islam
15 Sya'ban Penukaran qiblat
Ramadhan PEPERANGAN BADAR
8 Ramadhan Bertolak dari Madinah ke medan perang
17 Ramadhan Peperangan!!!
20 Ramadhan Pulang ke Madinah dengan kemenangan. Allahu Akbar!!
Selepas Badar Perkahwinan Sayyidina 'Ali dengan Fatimah az-Zahra'
1 Syawal Solat 'Idul Fitri mula dibuat dan zakat fitrah difardhukan
Pertghan Syawal - Pengepungan terhadap Bani Qainuqa'
awal Zulqaedah
(Tidak diketahui) Salman al-Farisi memeluk Islam
(Tidak diketahui) Permulaan azan
(Tidak diketahui) Zakat difardhukan


Hijrah 3

15 Ramadhan Kelahiran Sayyidina Hassan, cucu Rasulullah SAW
Syawal PEPERANGAN UHUD
5 Syawal Meninggalkan Madinah selepas solat Juma'at
6 Syawal Peperangan!!!
7 Syawal Pengejaran ke atas tentera Abu Sufyan hingga ke Hamra
Ul Asad
Selepas Uhud Perintah pengharaman riba
Selepas Uhud Peraturan-peraturan mengenai anak yatim
Selepas Uhud Undang-undang terperinci mengenai harta pusaka
(Tidak diketahui) Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Hafsah binti 'Umar
(Tidak diketahui) Perkahwinan 'Uthman dengan Ummi Kalthum, puteri Nabi
(Tidak diketahui) Larangan pertama terhadap arak
(Tidak diketahui) Tamatnya riwayat Ka'ab bin Asyraf
(Tidak diketahui) Peraturan-peraturan mengenai perkahwinan dan hak-hak
isteri dan suami serta tegahan berkahwin dengan musyrik
(Tidak diketahui) Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab binti Khuzaimah



Hijrah 4

Safar Peristiwa raji' - pembunuhan 10 orang utusan da'wah
Rabi'ul Awwal Ghazwah Bani Nadhir
Rabi'ul Awwal Kematian Ummul Mu'minin Zainab binti Khuzaimah
1 Zulqaedah Perintah hijab
Zulqaedah Ghazwah Badar ke 2 - Abu Sufyan tidak datang setelah dia
membuat cabaran
(Tidak diketahui) Perintah terakhir tentang pengharaman arak


Hijrah 5

Rabi'ul Awwal Ghazwah Dumatul Jandal
3 Sya'ban Ghazwah Bani Musthaliq
Peraturan tayammum semasa dalam perjalanan
Sya'ban Khabar fitnah terhadap Aisyah (Hadithul Ifik)
Sya'ban Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina Juwairiyah
Syawal/Zulkaedah PERANG AHZAB
Zulkaedah Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab binti Jahsy
(Tidak diketahui) Penguatkuasaan hukum mengenai zina


Hijrah 6

Zulqaedah PERJANJIAN HUDAIBIYYAH
Zulhijjah Pengislaman Khalid al-Walid dan Amru al-'As
(Tidak diketahui) Pengislaman Thamama bin Usal, ketua Najd
(Tidak diketahui) Rasulullah SAW meminang Sayyidatina Ramlah di Habsyah


Hijrah 7

1 Muharram Permulaan perutusan surat kepada pemerintah-pemerintah
Muharram PERANG KHAIBAR
Muharram Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina Safiyyah
(Tidak diketahui) Perkhemahan muslim bebas di Saiful Bahr
Safar Serbuan kumpulan Saiful Bahr ke atas kafilah Quraisy
Zulqaedah Umrah tertangguh dikerjakan
(Tidak diketahui) Kepulangan Muhajirin dari Habsyah. Penyatuan Rasulullah
SAW dengan Ummul Mu'minin Sayyidatina Ramlah
(Tidak diketahui) Peraturan terperinci mengenai perkahwinan dan perceraian


Hijrah 8
PEMBUKAAN MAKKAH (FATHU MAKKAH)


Hijrah 9

Safar Perwakilan Azra datang ke Madinah
Rabi'ul Awwal Perwakilan Bahiy datang ke Madinah
Rajab PERANG TABUK
Sya'ban Perwakilan Khaulan datang ke Madinah
(Tidak diketahui) Perwakilan Bani Thaqif datang ke Madinah
Zulhijjah Haji difardhukan. Haji pertama di bawah pimpinan Abu Bakar

Hijrah 10


(Tidak diketahui) Perwakilan Maharib datang ke Madinah
(Tidak diketahui) Perwakilan Mahamid datang ke Madinah
Sya'ban Perwakilan Khaulan datang ke Madinah
Ramadhan Perwakilan Naisan datang ke Madinah
Ramadhan Rasulullah SAW uzur dalam masa 20 hari
Syawal Perwakilan Bani Haris bin Ka'ab datang ke Madinah
Syawal Perwakilan Salaman datang ke Madinah
26 Zulkaedah Bertolak ke Makkah untuk menunaikan haji
9 Zulhijjah HAJI WIDA'


Hijrah 11

Safar Rasulullah SAW mula demam dan sakit
12 Rabi'ul Awwal KEWAFATAN RASULULLAH SAW



"Atas nama ayahku dan ibuku ya Muhammad! Aku

bersaksi di hadapan Tuhan, bahawa sesungguhnya engkau senantiasa

mulia, baik di waktu hidupmu, atau pun setelah engkau

menutup mata....."

-- Abu Bakar r.a, sewaktu mengucup kening janazah Rasulullah SAW --

Tuesday, February 10

Nabi Musa Bermunajat Dengan Allah

Menurut riwayat sementara ahli tafsir, bahawasanya tatkala Nabi Musa berada di Mesir, ia telah berjanji kepada kaumnya akan memberi mereka sebuah kitab suci yang dapat digunakan sebagai pedoman hidup yang akan memberi bimbingan dan sebagai tuntunan bagaimana cara mereka bergaul dan bermuamalah dengan sesama manusia dan bagaimana mereka harus melakukan persembahan dan ibadah mereka kepada Allah. Di dalam kitab suci itu mereka akan dapat petunjuk akan hal-hal yang halal dan haram, perbuatan yang baik yang diredhai oleh Allah di samping perbuatan-perbuatan yang mungkar yang dapat mengakibatkan dosa dan murkanya Tuhan.

Maka setelah perjuangan menghadapi Fir'aun dan kaumnya yang telah tenggelam binasa di laut, selesai, Nabi Musa memohon kepada Allah agar diberinya sebuah kitab suci untuk menjadi pedoman dakwah dan risalahnya kepada kaumnya. Lalu Allah memerintahkan kepadanya agar untuk itu ia berpuasa selama tiga puluh hari penuh, iaiut semasa bulan Zulkaedah. Kemudian pergi ke Bukit Thur Sina di mana ia akan diberi kesempatan bermunajat dengan Tuhan serta menerima kitab penuntun yang diminta.

Setelah berpuasa selama tiga puluh hari penuh dan tiba saat ia harus menghadap kepada Allah di atas bukit Thur Sina Nabi Musa merasa segan akan bermunajat dengan Tuhannya dalam keadaan mulutnya berbau kurang sedap akibat puasanya. Maka ia menggosokkan giginya dan mengunyah daun-daunan dalam usahanya menghilangkan bau mulutnya. Ia ditegur oleh malaikat yang datang kepadanya atas perintah Allah. Berkatalah malaikat itu kepadanya: "Hai Musa, mengapakah engkau harus menggosokkan gigimu untuk menghilangkan bau mulutmu yang menurut anggapanmu kurang sedap, padahal bau mulutmu dan mulut orang-orang yang berpuasa bagi kami adalah lebih sedap dan lebih wangi dari baunya kasturi. Maka akibat tindakanmu itu, Allah memerintahkan kepadamu berpuasa lagi selama sepuluh hari sehingga menjadi lengkaplah masa puasamu sepanjang empat puluh hari."

Nabi Musa mengajak tujuh puluh orang yang telah dipilih diantara pengikutnya untuk menyertainya ke bukit Thur Sina dan mengangkat Nabi Harun sebagai wakilnya mengurus serta memimpin kaum yang ditinggalkan selama kepergiannya ke tempat bermunajat itu.
Pada saat yang telah ditentukan tibalah Nabi Musa seorang diri di bukit Thur Sina mendahului tujuh puluh orang yang diajaknya turut serta. Dan ketika ia ditanya oleh Allah: "Mengapa engkau datang seorang diri mendahului kaummu, hai Musa?" Ia menjawab: "Mereka sedang menyusul di belakangku, wahai Tuhanku. Aku cepat-cepat datang lebih dahulu untuk mencapai redha-Mu."

Berkatalah Musa dalam munajatnya dengan Allah: "Wahai Tuhamku, nampakkanlah zat-Mu kepadaku, agar aku dapat melihat-Mu"
Allah berfirman: "Engkau tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi cubalah lihat bukit itu, jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya sebagaimana sedia kala, maka nescaya engkau akan dapat melihat-Ku." Lalu menolehlah Nabi Musa mengarahkan pandangannya kejurusan bukit yang dimaksudkan itu yang seketika itu juga dilihatnya hancur luluh masuk ke dalam perut bumi tanpa menghilangkan bekas. Maka terperanjatlah Nabi Musa, gementarlah seluruh tubuhnya dan jatuh pengsan.

Setelah ia sedar kembali dari pengsannya, bertasbih dan bertahmidlah ia seraya memohon ampun kepada Allah atas kelancangannya itu dan berkata:
"Maha Besarlah Engkau wahai Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku dn aku akan menjadi orang yang pertama beriman kepada-Mu."
Dalam kesempatan bermunajat itu, Allah menerimakan kepada Nabi Musa kitab suci "Taurat" berupa kepingan-kepingan batu-batu atau kepingan kayu menurut sementara ahli tafsir yang di dalamnya tertulis segala sesuatu secara terperinci dan jelas mengenai pedoman hidup dan penuntun kepada jalan yang diredhai oleh Allah.

Allah mengiring pemberian "Taurat" kepada Musa dengan firman-Nya: "Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah memilih engkau lebih dari manusia-manusia yang lain di masamu, untuk membawa risalah-Ku dan menyampaikan kepada hamba-hamba-Ku. Aku telah memberikan kepadamu keistimewaan dengan dapat bercakap-cakap langsung dengan Aku, maka bersyukurlah atas segala kurnia-Ku kepadamu dan berpegang teguhlah pada apa yang Aku tuturkan kepadamu. Dalam kitab yang Aku berikan kepadamu terhimpun tuntunan dan pengajaran yang akan membawa Bani Isra'il ke jalan yang benar, ke jalan yang akan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat bagi mereka. Anjurkanlah kaummu Bani Isra'il agar mematuhi perintah-perintah-Ku jika mereka tidak ingin Aku tempatkan mereka di tempat-tempat orang-orang yang fasiq."

Bacalah tentang kisah munajat Nabi Musa ini, surah "Thaha" ayat 83 dan 84 dan surah "Al-a'raaf" ayat 142 sehingga ayat 145 sebagaimana berikut :~

"83~ Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaummu, hai Musa?" 84~ Berkata Musa: "Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepadamu ya Tuhanku, agar supaya Engkau redha kepadaku." { Thaha : 83 ~ 84 }

"142~ Dan Kami telah janjikan kepada Musa {memberikan Taurat} sesudah berlalu waktu tiga puluh malam dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh {malam lagi}, maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam. Dan berkata Musa kepada saudaranya, iaitu Harun: "Gantilah aku dalam {memimpin} kaumku dan perbaikilah dan janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang membuat kerusakkan". 143~ Dan tatkala Musa datang untuk {munajat} dengan {Kami} pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman {langsung} kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku nampakkanlah {Zat Engkau} kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau." Tuhan berfirman: "Kamu sesekali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi melihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya {sebagai sediakala} nescaya kamu dapat melihat-Ku." Tatkala Tuhannya nampak bagi gunung itu, kejadian itu menjadikan gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada-Mu dan aku orang yang pertama beriman." 144~ Allah berfirman: "Hai Musa sesungguhnya Aku memilih kamu lebih dari manusia yang lain {di masamu} untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." 145~ Dan Kami telah tuliskan untuk Musa luluh {Taurat} segala sesuatu sebagai pengajaran bagi sesuatu. Maka Kami berfirman: "Berpeganglah kepadanya dengan teguh dan suruhlah kaummu berpegang kepada {perintah-perintahnya} yang sebaik-baiknya, nanti Aku akan memperlihatkan kepadamu negeri orang-orang yang fasiq." { Al-A'raaf: 142 ~ 145 }