Friday, November 13

Asal Usul Hajar Aswad =D

Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail bertungkus kumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung. Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata Nabi Ismail berkata, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia." Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?" Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)." Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mencium cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih, tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam. Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah s.w.t., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah. Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."

Tuesday, November 10

Amar Makruf Nahi Mungkar

Tanggungjawab Laksana Amar Makruf Nahi Mungkar

Pendakwah atau petugas mesti berusaha terapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah

MAKSUD amar makruf ialah mengajak manusia melakukan perkara kebaikan, manakala nahi mungkar pula mencegah manusia daripada melakukan perkara tidak baik. Oleh itu, perkataan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar selalu digunakan merujuk kepada mengajak manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Dalam karya fiqh klasik, istilah amar makruf nahi mungkar, jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam al-Quran, perkataan amar makruf dan nahi mungkar digunakan sekurang-kurangnya lapan kali.
Semua merujuk kepada tanggungjawab kolektif setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan itu. Firman Allah yang bermaksud:
"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya."
(Surah Ali-Imran, ayat 104)
Amar Makruf
Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud:
"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah sesuatu kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap Muslim harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat. Pertama, ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan hati. Berdasarkan hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar makruf dan nahi mungkar kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan baik, manakala nahi mungkar ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.

Dakwah
Realiti masyarakat Islam sekarang, ada pelbagai sebab kenapa dakwah itu menjadi tuntutan ke atas setiap individu Muslim. Antaranya, memberi pendidikan terhadap akhlak dan moral; pendidikan akidah dan sebarang aspek penyelewengan; pendidikan aspek pemikiran barat dan cara menanganinya dan pendidikan pentingnya peranan ilmu dan perpaduan di kalangan umat Islam.
Dakwah juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan masyarakat dan semasa. Oleh kerana kita berdakwah dalam masyarakat maka pemahaman berkaitan masyarakat yang ingin diajak adalah perlu. Penyelidikan juga harus dilakukan untuk memahami budaya dan cara hidup mereka.
Berdasarkan beberapa pendapat ulama, golongan manusia berkewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ialah orang Islam. Selain itu, ada beberapa syarat tambahan iaitu seorang yang mukalaf, mempunyai akhlak baik supaya tugas dakwah dilaksanakan memberi impak positif.
Antaranya, mestilah mempunyai kemampuan dan pengetahuan (untuk membezakan antara perkara baik dan salah) dan wujud kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa.

Prinsip
Secara prinsipnya. manusia ialah sumber pembangunan ekonomi negara, sosial, budaya dan akhlak. Manusia bukan saja memiliki sumber pengetahuan, saintifik, teknologi, teknikal dan vokasional tetapi lebih mustahak lagi ialah agama dan moral.
Masalah yang sering dihadapi umat Islam dalam menjalankan amar makruf dan nahi mungkar ialah masalah manusia. Masalah manusia tidak bermaksud masalah tidak cekap ketika menjalankan kewajipan saja, tetapi masalah kefahaman, konsisten dan komitmen.
Manusia yang mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran profesional boleh menjadi tidak cekap dan telus menjalankan amar makruf dan nahi mungkar jika tidak mempunyai kebijaksanaan serta komitmen tinggi. Perkara mungkar boleh jadi tidak dapat dicegah jika manusia yang bertugas menghalangnya tidak benar bertanggungjawab, tidak diberi kepercayaan dan tidak bijaksana. Banyak pihak sudah mengetahui bagaimana sesebuah badan dakwah mengalami krisis keyakinan dan kepercayaan disebabkan orang yang terbabit dalam tugas amar makruf dan nahi mungkar itu tidak berilmu dan berkelayakan.
Mereka boleh jadi mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman dalam hal ehwal agama Islam, tetapi tidak mempunyai ciri pendakwah atau pelaksana amar makruf dan nahi mungkar yang baik. Mereka mempunyai masalah kekurangan persiapan diri dengan kemahiran asas dalam teknik komunikasi, kurang pengetahuan latar belakang sasaran, tidak menggunakan kaedah dakwah yang jelas dan kurang berjaya menjadi golongan contoh.
Jati Diri


Amar makruf dan nahi mungkar bertujuan membetulkan jati diri manusia. Ancaman agama, budaya dan kepercayaan tidak akan berjaya memusnahkan identiti orang Islam jika mereka mampu menentangnya dengan kepercayaan dalaman yang kuat berprinsipkan nilai Islam. Ada kalanya usaha manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar menciptakan peraturan tambahan yang tidak wajib, malah menyusahkan pula. Selain itu, hal yang perlu diberi perhatian ialah proses amar makruf dan nahi mungkar mesti berjalan seiringan.
Tidak boleh manusia berusaha menghukum atau mendisiplinkan masyarakat dan pada masa sama membiarkan budaya dan perlakuan tidak bermoral disebarkan melalui media massa. Masalah sosial dan akhlak ini tidak akan jika asyik melancarkan gerakan kilat dan mengejut untuk mencegah gejalanya, tetapi tidak membetulkan sistem yang melahirkan punca timbulnya pelbagai masalah sosial.

Modal yang perlu ada pada setiap pendakwah ialah modal agama, pendidikan yang betul dan kebijaksanaan selain mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengetahui tabiat manusia, masyarakat dan alam sekitar serta mempunyai kesungguhan meneroka disiplin ilmu sesuai aktiviti dakwahnya. Pendakwah atau petugas amar makruf dan nahi munkar mesti berusaha menerapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah bukannya menghukum dan berupaya bercakap dalam bahasa moden sesuai dengan sasaran.